Hari ini keputusan PMR keluar...hehe tiada anak2 pun yang amik exam ni..masih kecik2 lagi..juz terkenang saat-saat dulu menghadapi exam besar mcm ni...saje nak share dgn korang semua info ni..
Empat faktor lahir anak genius
Setiap ibu bapa mempunyai impian agar anak dikasihi menjadi pelajar pintar. Malah, tidak keterlaluan untuk mengatakan ada yang mahu si anak mengikut langkah tokoh ulung dunia dalam menerokai khazanah ilmu pengetahuan.
Jika kita singkap sejarah kegemilangan Islam dulu, ramai tokoh ilmuwan yang bukan saja berjasa kepada tamadun Islam, bahkan dunia seluruhnya seperti Ibnu Sina dengan sains perubatan dan al-Jazari dalam kejuruteraan mekanikal.
Namun, mungkin ada yang tersentak apabila terbaca beberapa mitos yang menguar-uarkan kononnya anak genius dilahirkan secara genetik atau diwarisi dan bukannya dibentuk. Oleh kerana itu, akan ada sesetengah ibu bapa mula sangsi dan tertanya-tanya: "Apakah anak aku juga mewarisi genetik genius dan bolehkan dia menjadi pintar seperti yang lain?"
Sesetengahnya pula percaya kepada dakwaan bahawa anak genius itu hasil daripada perkahwinan campur sedangkan hakikatnya tidaklah sedemikian. Jika ada sekalipun, bukanlah keseluruhan.
Demikianlah beberapa kepercayaan yang dilihat ketara melekat pada minda masyarakat kita sehingga mengetepikan potensi dan bakat semula jadi anak untuk muncul sebagai seorang genius.
Genius atau kepintaran luar biasa sudah lama menjadi topik perbincangan, bahkan semenjak zaman Greek lagi. Pada zaman itu, konsep genius mula dibincang dan dikaji secara mendalam.
Cuma kini, dengan persaingan dunia yang serba pantas dan ringkas, ia semakin diperkatakan kerana apabila kurang genius menyebabkan seseorang itu akan terkebelakang.
Hasil kajian terkini dalam sains perkembangan otak manusia menunjukkan faktor genetik adalah sampingan sahaja sedangkan faktor utamanya banyak dipengaruhi rangsangan terhadap otak individu.
Malah, kajian sains pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak juga mengatakan ada empat faktor utama menghasilkan anak yang pintar iaitu asuhan yang sempurna, pemakanan sihat dan seimbang, curahan kasih sayang serta rangsangan pembelajaran dibekalkan ibu bapa semenjak anak masih kecil.
Inilah faktor utama yang akan membolehkan si anak memiliki potensi akal dan ketinggian daya intelek.
Sebenarnya jika kita teliti faktor itu, ia sudah diperkenalkan oleh Islam. Malah, kepintaran menurut acuan Islam lebih bersifat menyeluruh iaitu turut membabitkan sahsiah dan rohani.
Ini kerana seandainya sekadar pintar berfikir dan berdaya intelek dalam akademik sahaja belum dapat menjamin kejayaan dan keselamatan yang berkekalan dalam hidupnya.
Kita lihat aspek asuhan, ia menjadi pencetus untuk melahirkan anak yang genius seperti ditekankan oleh Islam.
Islam memerintahkan ibu bapa memberikan asuhan sempurna terutama dalam beragama dan berakhlak luhur. Dengan keimanan dan ketakwaan yang mantap, mereka boleh menjadi seorang genius.
Lihatlah sejarah ilmuwan Islam dulu yang dibesarkan dengan cara hidup Islam, disirami perjalanan sirah Nabawi dan generasi salafussoleh, akhirnya muncul tokoh dikagumi dan disegani dunia.
Kemudian pemakanan sihat dan seimbang turut diberikan perhatian dalam Islam dari awal lagi. Sains moden juga memberikan penekanan yang sama khususnya dari sudut keseimbangannya.
Berhubung hal ini, Islam menganjurkan ibu yang melahirkan anak agar menyusui bayi sehingga berusia dua tahun. Tidakkah ini membuktikan sekali lagi betapa Islam lebih terkehadapan?
Anjuran ini tidak bercanggah dengan penemuan sains mengenai perkembangan dan tumbesaran bayi.
Kajian oleh Prof Michael Kramer dari Universiti Mcgill, Kanada, misalnya mendapati perkembangan kognitif otak bayi berusia tiga bulan yang diberikan susu ibu secara eksklusif adalah tujuh kali lebih tinggi berbanding bayi tidak mendapatkannya.
Menurut pakar penyelidikan penyusuan ibu dan kesihatan Barat itu, interaksi dengan ibu sewaktu tempoh penyusuan juga adalah bentuk rangsangan yang akan memberikan impak positif terhadap perkembangan kognitif anak.
Jadi, jelaslah bahawa dalam Islam sendiri sudah ada petua dan kaedahnya untuk melahirkan anak genius. Cuma genius yang dingini Islam lebih luas skopnya, bukan hanya membabitkan satu dua subjek.
Islam menghendaki setiap ibu bapa membina jiwa anak yang genius secara menyeluruh iaitu merangkumi sama aspek lain seperti keutuhan iman dan kemantapan takwa.
Apabila hebat sahsiah dan utuh potensi akal, cara berfikir juga seimbang. Dengan ini akan terbentuklah generasi contoh seperti disebut sesetengah pihak sebagai generasi Qurani.
Oleh Mohd Rizal Azman Rifin
Penulis ialah Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Muadzam Shah